Wednesday, February 01, 2006

Kursus Jangka Pendek
Tarikh Permohonan : 7 Januari 2006 hingga 8 Februari 2006

MAKLUMAT PENDAFTARAN DAN PELAKSANAAN
Pelaksanaan Kuliah (teori dan praktikal)
Kursus-kursus akan diadakan di kampus Akademi Seni Kebangsaan, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur dan akan dilaksanakan pada setiap hari Sabtu dan / atau Ahad.
Seorang pelajar digalakkan untuk mengambil satu kursus sijil dalam sesuatu tempoh pengajian. Tempoh pengajian adalah selama 14 minggu.


Hari Pendaftaran
Pendaftaran akan diadakan di kampus Akademi Seni Kebangsaan iaitu pada 18 Februari 2006


Tarikh mula kuliah
Kuliah akan bermula pada 19 Februari 2006. Unit Hal Ehwal Akademik akan mengeluarkan Jadual Kuliah.

Yuran pengajian
Yuran setiap satu kursus adalah sebanyak RM500.00.
Bayaran hendaklah dilakukan di hari Pendaftaran dengan menggunakan wang pos atau kiriman wang di atas nama "AKAUN AMANAH AKADEMI SENI KEBANGSAAN". Bayaran melalui cek dan wang tunai tidak akan diterima.


Peraturan
Pelajar Kursus Sijil Jangka Pendek adalah tertakluk kepada Peraturan Tatatertib Am Pelajar Akademi Seni Kebangsaan (Pindaan 2004).

KURSUS YANG DITAWARKAN DAN SINOPSIS

1. Kursus Sijil Penulisan Novel Remaja dan Cerita Kanak-Kanak

Penulisan Novel Remaja
Kursus ini memperkenalkan pelajar kepada satu genre penulisan yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada khalayak. Tahap umur remaja yang berbeza dengan kanak-kanak dan orang dewasa memerlukan seseorang penulis mengambil pendekatan, teori dan kaedah penulisan yang berbeza, bagi memastikan ia mencapai matlamat dan khalayak sasar sebenar. Sementara aspek-aspek ilmu bantu yang tertentu, psikologi dan sosiologi terutamanya perlu diberikan perhatian. Pelajar juga akan dibimbing denga teliti supaya karya yang mereka hasilkan tidak cenderung ke arah penulisan novel popular yang ceritanya berkisar di sekitar kisah cinta semata-mata. Sebaliknya mereka diharapkan akan menulis karya-karya yang lebih bernilai positif dan bermaruah.

Penulisan Cerita Kanak-Kanak
Penulisan cerita kanak-kanak dapat dipecahkan kepada beberapa bentuk, seperti novel kanak-kanak dan buku cerita bergambar. Oleh kerana penulisan ini ditujukan khusus kepada khalayak sasar kanak-kanak, maka pendekatan penulisannya pastilah berdasarkan satu garis panduan dan asas-asas tertentu, bagi memastikan ia sampai kepada khalayak dan memberikan kefahaman serta manfaat kepada mereka. Justeru itu, pelbagai aspek dan ilmu bantu barangkali perlu diteroka terlebih dahulu sebelum seseorang penulis mampu melahirkan sesebuah cerita untuk kanak-kanak. Aspek psikologi kanak-kanak misalnya merupakan suatu hal yang tidak boleh tidak harus difahami dan dikaji oleh bakal penulis cerita kanak-kanak, supaya apa sahaja bahan yang dipilih untuk mereka itu akan menjadi bacaan yang sesuai serta berfaedah.

Setiap permohonan boleh dibuat melalui:
1. Mengisi borang dalam laman web ini dan dihantar terus secara online;
2. Memuat-turun borang dalam laman web ini dan hantarkan ke alamat ASK;
3. Datang dan ambil borang di ASK (borang permohonan adalah percuma).

memang ingin sangat mengikuti kursus ini.cuma ada beberapa faktor konstraint yang perlu dipertimbangkan;1.masa.ketika ini saya terikat dengan kerja-kerja makmal yang perlu disiapkan dengan kadar segera dan analisis data serta persediaan untuk pembentangan hasil kerja penyelidikan pada mac ini. 2.kewangan.jika saya mahu meneruskan hasrat untuk kursus ini, akan sedikit sebanyak menggangu budget saya untuk menduduki dua peperiksaan penting; TOEFL dan GRE.saya masih ada 7 hari untuk membuat keputusan tapi saya dah nampak apa keputusan itu.