Saturday, July 12, 2008

Pastikan normal (Dr.Ismail Thamby, doktor pakar sakit tuan)

APABILA bayi selamat dilahirkan, mustahak untuk memastikan dia ada sepasang buah zakar dan anggota kelaminnya berkeadaan normal.

Kadangkala berlaku kes buah zakar tiada dalam kerandut walaupun bayi itu disahkan memiliki sepasang buah zakar. Selain itu ada juga berlaku buah zakar tertarik ke atas, di mana keadaan ini dikenali sebagai ‘retractile testis’.

Namun bagi retractile testis, tiada apa perlu dilakukan. Ia hanya berlaku dalam keadaan tertentu seperti menyentuh anggota kelamin ketika membasuhnya. Dalam sekelip mata buah zakar yang tertarik itu masuk semula ke kerandut.

Jarang berlaku buah zakar itu tidak turun. Jika berlaku, masalah itu perlu dirujuk kepada doktor. Jika kerap terjadi, doktor akan cadangkan supaya buah zakar ditempatkan ke dalam kerandut melalui pembedahan kecil.

Sama juga dengan buah zakar yang tersangkut di atas, iaitu yang tidak turun sejak lahir. Keadaan ini dikenali sebagai ‘kryptorkidisme’ dan pembedahan menurunkan buah zakar yang tersangkut perlu dilakukan sebelum lelaki itu baligh.Pembedahan perlu dilakukan secepat mungkin, lagi cepat lagi bagus, seawal bayi masuk umur dua tahun. Dalam umur itu, tiada kemungkinan buah zakar yang tersangkut itu turun secara normal.Jika perlu, doktor akan lakukan pembedahan selepas mengetahui kedudukan buah zakar budak itu.

Jarang buah zakar itu tidak terbentuk atau tiada. Jika tiada, tidak perlu berbuat apa-apa. Satu buah zakar sudah cukup jika ia normal.

Saya syorkan pembaca yang ada masalah berkaitan anggota kelamin kanak-kanak lelaki bertemu doktor atau pakar. Jangan cuba merawatnya secara sendirian atau merujuk kepada bomoh, dukun atau mengikut amalan orang tua-tua.

Jika buah zakar yang kelihatan besar itu didemah (tuam), kilang sperma boleh rosak atau jika kebetulan ada usus dalam kerandut seperti hernia, usus itu boleh bengkak, radang dan menyebabkan bayi mengalami masalah perut pula.