Friday, August 26, 2005

Food 4 Soul 3

::Mengendalikan hawa nafsu termasuk jihad besar::
NABI Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Di samping faktor luaran seperti dunia, manusia dan syaitan, faktor dalaman iaitu nafsu turut mendorong manusia melakukan maksiat kepada Allah.
Mengendalikan hawa nafsu adalah jihad terbesar yang sangat berat dan wajib dilakukan manusia. Tanpa kemampuan mengendalikan hawa nafsu, manusia akan jatuh ke jurang kehinaan kerana nafsu sentiasa mengajak kepada keburukan dan kemudaratan.
Orang yang mengikut hawa nafsu kerap semakin asyik dengan kesesatannya itu. Mereka, bahkan sampai tidak merasakan berdosa dengan maksiat yang dilakukan sehingga sanggup dan tanpa malu melakukan tindakan melampaui batas. Contohnya, muda-mudi berkelakuan tidak senonoh seperti bercumbu-cumbuan di khalayak ramai dan seumpama, sedangkan mengetahui bahawa menurut hawa nafsu mengakibatkan kehidupan moral dan akhlak mulia manusia rosak.
Penting bagi setiap umat Islam memiliki nafsu yang selalu memperoleh petunjuk daripada Allah seperti nafsu yang dimiliki oleh Nabi Yusuf sehingga beliau dapat menghindarkan dirinya daripada segala bentuk kemaksiatan.
::petikan Mastika Hadis, Jakim.